Showing posts with label keluarga. Show all posts
Showing posts with label keluarga. Show all posts

28 November 2009

TARBIYYAH SI CILIK (3)-BILA SI KECIL BERTANYA

TARBIYYAH SI CILIK (3)-BILA SI KECIL BERTANYA

“Em,nama anti Siti Balqis ye?”,saya sengaja bertanya bagi mencari ruang memulakan perbualan.’Name tag’ yang terjahit pada tudung putihnya itu jelas menunjukkan namanya.

“A’ah”,Balqis menjawab perlahan.Malu-malu.


“Balqis darjah berapa?”


“Darjah satu.”


“Balqis kenal ke ustaz?”saya sengaja bertanya walaupun mengetahui bahawa dia tidak mengenali saya.


“kenal,ustaz Nasrul.”


Ala mana aci,tengok baju ustaz,”pada baju jaket saya juga tersulam nama.


Balqis tersenyum.


Bas terus meluncur laju menuju ke Kem PLKN Bukit Besar.Lokasi program bagi Smart Camp SRIBU 2009..Peluang untuk bersama-sama dengan putera puteri Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum merupakan kesempatan yang saya nanti-nantikan.


Kemesraan yang terjalin dengan pelajar dan kakitangan walaupun hanya 6 bulan bekerja disana sudah cukup memaut hati saya untuk terus mencari ruang untuk bersua dan melepaskan rindu.Mereka bukan pelajar biasa,mereka sangat-sangat istimewa.Pentarbiyyahan islamiyyah yang diterap kepada mereka dari kecil jelas membezakan peribadi dan fikrah mereka dengan orang awam.


“Ustaz,ustaz dah kahwin?,”tiba-tiba Balqis bertanya,menyedarkan lamunan saya yang sudah terbang entah kemana.


Soalan itu benar-benar membuat saya terpana seketika.


Bukan kerana soalannya yang pelik,tetapi kepelikan tertumpu kepada empunya diri yang bertanya.Balqis baru darjah satu,tetapi bagaimana soalan itu yang menjadi ‘target question’ kepada orang yang baru dikenali.Mengapa bukan bertanya mengenai negeri kelahiran,atau mungkin soalan-soalan yang lebih simple.Soalan itu terlalu ‘high level’ bagi umur sepertinya.


Saya terdiam.


“Ish,ustaz muda lagi,ustaz belum kahwin la.Lagipun ustaz pemalu,”saya cuba mengalih kepersoalan lain.


“Diorang tak malu pun ustaz,”Balqis menjuih bibirnya ke tingkap,mengarahkan saya melihat ke luar bas.Rupanya kebetulan bas melintas satu majlis kenduri perkahwinan.


Saya tersilap bagi alasan.Sepatutnya memberi alasan yang lebih rational kepada Balqis.Mungkin kerana hendak tumpu belajar,ataupun kerana hendak berbakti kepada makabah.Mengalihkan pemikiran dan tumpuan budak-budak bukan mudah.Dewasa ini,mereka membesar dengan cepat.Kali ini saya betul-betul terpukul dengan si kecil ini.


MEMILIH ITU PERLU


Perkahwinan adalah fitrah manusia.Manusia normal sudah pasti ingin berkahwin tidak kira siapa dan bagaimana latarbelakangnya.Yang kaya atau yang miskin,pandai atau yang jahil,ahli maksiat atau ahli ibadat,malahan yang islam,kafir dan mana-mana penganut agama sekalipun.


Persoalan perkahwinan bukanlah satu isu yang boleh dipandang ringan.Terutamanya bagi mereka yang inginkan kebahagiaan bukan sahaja di dunia,tetapi ingin membina mahligai impian di syurga kelak.


Kita analogikan begini.Faizuddin merupakan pelari pecut.Bagi menghadapi perlumbaan,beliau tidak boleh berkaki ayam tetapi memakai alas kaki.Alas kaki boleh jadi selipar jepun,boleh jadi sandal,dan boleh jadi kasut.Tetapi bagi memudahkan larian,maka kasutlah dipilih.



Apakah cukup dengan memilih mana-mana kasut?ada kasut untuk hiking,ada untuk sukan badminton,ada juga untuk futsal dan ada juga yang dikhaskan untuk berlari.Sudah tentu Faizuddin memilih kasut khas untuk berlari.


Kasut untuk larian juga mempunyai pelbagai jenis.Di sini Faizuddin sukar memilih kerana kurang memahami apakah kriteria kasut yang terbaik yang benar-benar boleh membantunya secara optimum bagi menyudahkan larian.




Antara kahwin atau membujang


Allah berfirman,

"Dan kahwinlah orang bujang (Lelaki atau perempuan) dari kalangan kamu, dan orang yang salih dari hamba-hamba kamu, lelaki dan perempuan. Jika mereka miskin, Allah swt akan memberikan kekayaan kepada mereka dari limpah kurnia-Nya, kerana Allah swt Maha Luas (rahmat-Nya dan limpah kurnia-Nya), lagi Maha Mengetahui"



(Surah An-Nur 24:32)


Nabi bersabda,


"Wahai pemuda-pemuda, sesiapa sahaja diantara kamu yang berkemampuan untuk berkahwin, maka berkahwinlah kerana dengan berkahwin dapat menundukkan pandangan dan menjaga kehormatan diri"



(riwayat Bukhari dan Muslim)


Saya tidak mahu menyentuh tentang tuntutan perkahwinan dan kepentingannya.Saya rasa sebahagian besar dari kita sudah tahu,malah hafal dalilnya.



Antara agama dan tujuan dunia


Dalam sebuah hadis,nabi menerangkan mengenai kriteria calon wanita yang sebaiknya menjadi pilihan.Nabi bersabda,


“Dinikahi wanita itu kerana empat perkara, iaitu kerana kekayaan, kedudukan, kecantikannya, dan agamanya. Maka pilihlah dalam hal agamanya. Nescaya beruntunglah kedua-dua tanganmu...”


(HR. Bukhari Muslim)




Saya merasakan umum sudah mengetahui bahawa ciri yang paling utama bagi memilih pasangan adalah yang beragama.Tetapi cukupkah dengan pilihan beragama?



Antara pilihan kita dan pilihanNya


Kalau tadi skop pilihan terlalu luas,maka skopnya semakin mengecil.Saya tidak mengatakan bahawa memilih skop beragama sahaja itu salah,tetapi saya ingin membawa diri dan pembaca semua supaya memilih yang terbaik.Seperti tamsilan yang saya berikan tadi,Faizuddin tahu bahawa dia perlu memilih kasut larian tetapi keliru untuk memilih kasut larian mana yang paling sesuai.



Di sini yang terbaik yang saya maksudkan adalah dari kacamata Pencipta kita iaitu Allah.Dalam ertikata lain,pasangan manakah yang terbaik bagi kita untuk menumpahkan kecintaan dan kasih sayang semata-mata kerana kita cintakan Allah.


Menyukai apa yang dibenci kerana Allah suka,dan membenci apa yang disukai kerana Allah benci.Fathi Yakan dalam kitabnya yang tersohor,iaitu apa ertinya saya menganut Islam meletakkan persoalan cinta itu dibawah bab aqidah dan bukannya ibadah ataupun akhlak.Ini bermakna cinta itu adalah persoalan tunjang keimanan seseorang.Jika seseorang itu gagal mencintai kerana Allah maka ia merupakan manifestasi kepada kecacatan iman dan tauhid yang dipegang.


Allah adalah tumpuan kecintaan.


Segala cinta dan kasih sayang bagi mereka yang benar-benar beriman adalah hasil kecintaan kepada Allah. Sabda Nabi SAW yang bermaksud:


“Tiga perkara yang barangsiapa memilikinya nescaya dia akan merasa kemanisan iman, iaitu apabila Allah dan RasulNya lebih dicintainya dari segala sesuatu selain keduanya, apabila seseorang mengasihi seseorang yang lain kerana Allah, dan apabila dia benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana bencinya ia untuk dicampakkan ke dalam api neraka.”


(Riwayat Bukhari dan Muslim)



PERCATURAN PENDAKWAH


Seorang peniaga akan sentiasa memikirkan bagaimana ingin menggandakan keuntungan.Tiap tindakan tidak boleh disia-siakan.semuanya berorientasikan hasilan.


Begitu juga dengan pendakwah,tiap gerak langkah mesti memberi keberuntungan untuk dakwah yang diperjuangkan.Ini termasuk juga perkahwinan dirinya.Perkahwinan bagi dai’ yang sebenar adalah satu peluang keemasan bagi melebar sayapkan dakwahnya.Pilihan yang tepat boleh menyebabkan keberhasilan yang diluarjangkaan.


Ia juga boleh berubah menjadi mala petaka jika ia gagal membuat pemilihan yang tepat.Mungkin kariernya sebagai dai’ boleh musnah dalam sekelip mata.Pendakwah perlu bijak dalam percaturannya.


i)Yang sedia dibimbing


Pernah satu ketika saya ditanya oleh seorang sahabat,dia merasakan bahawa tiada muslimat yang memenuhi ciri-ciri apa yang dia rasakan terbaik bagi dirinya.Kalau dilihat,dia memang merupakan sahabat yang berakhlak dan tinggi ilmunya.Memang benar seandainya hendak melihat muslimat yang secocok dengannya teramat sukar hendak dicari.


“Apa kayu ukur yang anta mahukan,”saya bertanya.


“Ana tengok tiada seorang muslimat pun yang memenuhi ciri-ciri yang ana nak.Kalau boleh biarlah yang ilmu agamanya kuat.(saya tidak tahu apa yang dimaksudkan olehnya dengan kuat agama).Selain itu perangai tu mestilah menjaga.,”dia cuba memberi penerangan.


“Kalau ana bagitau anta benda ni,anta jangan terkejut,”saya cuba menduga rasa ingin tahunya.


“Apa dia?cakap je.”


“Anta nak tau tak,muslimat yang ada dekat depan anta sekarang ni majoritinya pernah ada sejarah bercouple dan berdating.Ada yang diantaranya sebelum ini biasa berseluar jeans,tudung baling-baling aje…Yang naik motor dengan lelaki pun ada.”


“Hah,anta biar betul.Macam tu susah la macam ni.cancel la,”dia mula putus asa.


“Itulah hakikatnya.Tetapi disitu mencerminkan keagungan Allah.Allah memberi hidayah kepada siapa sahaja yang dikehendaki.Cuba anta tengok balik kita semua.Berapa ramai dikalangan kita yang mendapat pendidikan agama formal?berapa ramai yang dilahirkan dari keluarga yang memiliki fikrah islam?tak sampai 1% pun.Tetapi pada hari ini,mereka-mereka inilah yang Allah pilih untuk jadi penyambung tugas Nabi.”


“Habis tu macam mana?takkanlah ana nak pilih orang yang ada sejarah macam tu.”


“Jangan lihat mereka yang dulu.Lihat mereka yang sekarang.Lihat apa perubahan yang telah mereka lakukan demi perjuangan dan Islam.Dulu tudung baling-baling,sekarang tudung bulat.Sekarang mungkin ada yang anta tengok macam ada yang kurang menjaga perlakuan antara muslimin.Tapi bandingkan muslimat itu pada dirinya yang dulu.Kalau dulunya dia bercouple dan membonceng lelaki,tetapi sudah clash dan mengorbankan cinta lama.Maka bukankah dia telah banyak berubah?,”persoalan demi persoalan saya lontarkan.


“Yang penting adalah kesediaan dia untuk dibimbing.Bukti terbesar bahawa muslimat itu bersedia untuk dibimbing adalah dengan membandingkan dirinya dengan masa lalu.Perubahan demi perubahan yang dilakukan menunjukkan bahawa dia bersedia untuk terus membuat perubahan dimasa hadapan InsyaAllah.”


Saya bukanlah ingin menghalalkan segala kesalahan atau kesilapan yang dilakukan.Yang benar tetap benar dan yang salah tetap salah.Tetapi perubahan itu adalah satu proses.Sesuatu yang beransur-ansur dan mengambil masa.Pintu taubat sentiasa terbuka bagi Allah,maka mengapa kita harus melebihi Allah dalam hal ini?Seperti kata saidina Ali KWH.,


“Beruntunglah orang yang hari ini lebih baik dari semalam,rugilah orang yang sama keadaannya hari ini dengan semalam dan celakalah orang yang hari ini lebih teruk dari semalam.”


Jika seseorang itu mahu dirinya dibimbing,maka itu adalah satu anugerah yang tidak ternilai.Seandainya seorang muslimat itu ilmunya menggunung,tetapi riak dan merasa dirinya serba cukup,maka ia merupakan satu malapetaka yang maha dahsyat.Ibaratnya dua buah bekas,satu terbuka dan dengan mudah diisi air.Manakala gelas yang satu lagi mempunyai penutup yang betul-betul rapat dan berkarat.Entah bila akan terbuka atau mungkin tidak dapat terbuka sampai bila-bila!


ii)Maslahah Dakwah.


“Mengapa anta memilih Aqilah?ana rasa lagi sesuai anta dengan Nabilah,”Ustaz Azrul memberikan pendapatnya.


“Em,dua dua ok je bagi ana.Sama je.Perangai pun lebih kurang,”Marwan menjawab spontan.Dihadapan murabbinya tiada apa yang perlu diselindungkan.


“Ya,mereka sama tapi tidak serupa…,”Ustaz Azrul mula memberi penerangan.


“Cuba anta tengok latarbelakang keluarga mereka berdua.Ibarat langit dan bumi.Seandainya anta tersalah pilih,mungkin akan menyebabkan seorang lagi tercicir sedangkan keduanya berpotensi besar.Lagipun Nabilah dua tahun lagi tua dari Aqilah.Pada pandangan Ustaz,Nabilah lebih aula bagi anta.Aqilah mempunyai kelebihan background Islamic.InsyaAllah dia mampu survive hingga ada muslimin yang lain datang merisik,”Ustaz Azrul menjelaskan dengan panjang lebar.


Seperti analogi yang saya nyatakan diawal penulisan,Faizuddin akhirnya ingin memilih kasut larian tetapi masih keliru kasut larian yang bagaimana yang paling efektif bagi dirinya.Dia boleh sahaja membuat pilihan yang mana satu sekalipun,tetapi mungkin dia mungkin akan kerugian.Akhirnya Faizuddin membuat keputusan untuk bertanya kepada manajer peribadinya.Manajer yang sentiasa melihat perkembangan dirinya dari semasa ke semasa.


Begitulah peri pentingnya kita bertanya kepada orang yang lebih arif dalam hal ini.Boleh sahaja kita membuat penilaian pemilihan terbaik dimata kita.Tapi boleh jadi kita telah membuat keputusan yang diluar bidang kemampuan diri sekaligus tidak memberi impak semaksima mungkin kepada dakwah dan perjuangan.Itu merupakan tindakan yang kurang bijak dan mementingkan diri.


Jadi,buangkan sifat ego dan mulakan langkah terbaik dengan bertanya.


KELU TAK TERKATA,DIAM SERIBU BAHASA


“Ustaz,mai la sini jap,”Misbah memanggil saya.Ketika itu beberapa pelajar sedang tersengih-sengih melihat belakang pintu loker.


Ada apa?”saya seperti sudah dapat menduga,mesti budak-budak PLKN sudah menconteng perkara yang tidak baik diloker itu.


“Ustaz datang la sini.Ada orang lukis benda tak elok,”Misbah memanjangkan kalam.Pelajar yang lain sudah mula memanjangkan leher untuk melihat apa yang terpampang disitu.


Saya menjadi kaget.Mereka sudah sedaya upaya dijaga sebaiknya melalui pentarbiyyahan.Tetapi.Itulah senario akhir zaman.Kemaksiatan dan kejahilan berada dimana-mana.Terlalu sukar untuk melawan gelombang thagut.Begitu payah sekali menjaga Iman dan Islam dalam diri.


Bagaimana agaknya cabaran kita membesarkan anak-anak kecil seperti ini 10 tahun akan datang jika sekarang inipun cabarannya teramat dahsyat?


“Ya Allah,wahai Tuhan kami,bantulah kami mengingatiMu,mensyukuriMu,mentaatiMu dan bantulah kami menjadi hambaMu yang baik.”


Allahuakbar.Bantulah kami.


Read More......

12 February 2009

BERSABARLAH KETIKA HARAMNYA…

BERSABARLAH KETIKA HARAMNYA…

TINIT…TINIT…,1 new message.Tertera paparan pada telifon bimbit Hafiz.Dicapainya K610i kesayangannya dan dibaca pesanan ringkas dalam inboxnya.


“Salam.Nta tngh watpe?dah mkn mlm lum?...Sender:Atie”SMS itu berbunyi.


Hafiz tidak membalas message itu.Diletakkan telifon bimbitnya ditepi meja dan terus kembali menelaah pelajaran.


“Bilakah lagi…kita semua satu hati…bilakah lagi…Islam kan dikecapi…,”tidak sampai 5 minit,k610inya kembali menggangu fokusnya.Ringtone nasyid dari kumpulam La Khauf memecah kesunyian malam,ternyata panggilan dari Atie.


Hafiz mula tidak senang duduk.Dia men’silent’kan telifon bimbitnya dan meletakkan dibawah bantal.Dialihkan kembali tumpuannya pada pelajaran.


Jam didinding menunjukkan 2 pagi.Hafiz sudah selesai menyiapkan kerja.Masa untuk tidur.



Dicapainya telifon bimbit dibawah bantal untuk menetapkan penggera bagi memudahkannya bangun awal subuh.Tapi dia terkejut dengan paparan pada skrin telifon bimbitnya.


“17 missed call.1 new message!”ternyata semuanya dari Atie.Hafiz menjadi serba salah.Serba salah,bukan kerana tidak angkat atau membalas message Atie,tetapi serba salah dengan suasana yang sedang berlaku terhadap mereka.



Hafiz dan Atie menerima tarbiyyah sedari menjejakkan kaki ke pusat pengajian tinggi.Kedua-duanya merupakan orang yang terkehadapan dalam medan dakwah kampus mereka.Kelantangan mereka dalam menyuarakan pendapat dan kebijsanaan dalam menangani pelbagai permasalahan di peringkat organisasi, diakui oleh sahabat-sahabat seangkatan dengan mereka.Maka tidak hairanlah keputusan Mas’ul untuk cuba menggandingkan mereka dalam mewujudkan Baitul Muslim(keluarga Islam).Moga dengan itu dapat berkembangnya zuriat umat Nabi yang hebat seperti mereka.


Tiga bulan yang lalu berlangsungnya majlis taaruf(perkenalan) antara Hafiz dan Atie.Satu majlis ringkas bagi mendapatkan persetujuan kedua belah pihak sebagai langkah awal kepada proses mewujudkan Baitul Muslim.Semuanya berjalan dengan lancar seperti yang diatur oleh mas’ul.Bagi seorang yang aktif dalam dakwah seperti Hafiz,ini merupakan satu batu loncatan baginya.Pemikiran dan tenaganya boleh ditumpukan kepada dakwah dan perjuangan tanpa seberang gangguan.


Pada dua bulan pertama proses ini berjalan,tiada sebarang perubahan pada rutin kehidupan Hafiz. Disangkanya dengan mengikut proses yang diatur oleh mas’ul,persoalan fitnah wanita jauh dari dirinya.Tetapi masuk bulan ketiga,Hafiz mula diselubungi kebimbangan.Perangai Atie mula berubah.Kini tiap malam telifon bimbit Hafiz dihujani dengan SMS dan panggilan dari Atie sedangkan tiada urusan penting yang perlu dilakukan antara mereka berdua!Fokus Hafiz pada dakwah makin hilang.Hatinya serba salah dengan dakwah yang diseru kerana diri sendiri juga terjebak.


“Apakah manusia menyangka bahawa mereka ditinggal biarkan begitu sahaja dengan hanya mereka berkata:Kami telah beriman.Sedangkan mereka tidak diuji?Sesungguhnya telah Kami menguji mereka yang sebelumnya.Maka Allah mengetahui orang-orang yang benar(jujur) dan yang dusta.” (Al-ankabut:2,3)


Manusia tidak sunyi dari ujian.Allah Maha Berkuasa atas tiap sesuatu.



INGATAN BUAT DIRIKU YANG ALPA


Saya bukanlah seorang yang berpengalaman luas dalam proses mewujudkan Baitul Muslim ini.Jadi menulis tentang perkara ini menjadi sesuatu yang teramat sukar.Tetapi itu tidak bermakna saya menulis ini tanpa sebab atau dasar yang jelas.


Banyak cerita-cerita kisah benar yang sampai ke pengetahuan saya berkenaan dengan permasalahan ini.Itu belum lagi yang tidak saya ketahui.Apa yang pasti,permasalahan ini tidak asing lagi dalam dunia dakwah remaja.Buktinya adalah artikel-artikel popular seperti ‘Fenomena Cinta Anta Anti’ oleh Ustaz Mazlee Malik dan ‘Sepinggan Dosa Berulam Pahala’ oleh Ustaz Hasrizal Abdul Jamil yang hangat diperkatakan suatu masa dahulu.



Tetapi permasalahan ini terus berlaku.Maka bolehlah para pembaca menganggap tulisan ini sebagai peringatan buat kita semua yang sering alpa dan mudah lupa.Moga kita diberi taufiq oleh Allah untuk melaksanakannya.


Hafiz dan Atie merupakan satu contoh yang mudah.Tetapi saya ingin mengklasifikasikan punca permasalahan ini kepada tiga kemungkinan supaya lebih jelas.


Yang pertama,di pihak perempuan yang menimbulkan masalah.


Yang kedua,di pihak lelaki yang menimbulkan masalah.


Yang ketiga,kedua-dua lelaki dan perempuan saling tolong-menolong untuk menimbulkan masalah.


Sekiranya perempuan yang bermasalah,maka situasi masih boleh dikawal oleh lelaki.Tetapi sekiranya lelaki yang bermasalah,maka perempuan itu perlu lebih berani untuk menegur dan berlaku tegas.Manakala situasi yang ketiga akan berlaku jika situasi yang pertama dan kedua gagal dikawal atau diatasi.Dalam situasi yang ketiga ini agak sukar untuk diselesaikan melainkan adanya sahabat-sahabat yang peka dan prihatin tentang perubahan diri teman seperjuangan mereka.



MENGGILAP TUJUAN,NIKMATI KEINDAHAN


Pada kali ini,saya tidak berhajat untuk mengutarakan pendapat mengenai cara untuk mengawal atau mengatasi ketiga-tiga situasi ini.Tetapi sesuatu yang lebih penting dari itu iaitu “mengapa memilih proses Baitul Muslim yang direncanakan oleh organisasi?mengapa perlu mengawal situasi atau permasalahan ini?”Bagi saya,apabila manusia itu mengetahui secara jelas cause of actions,maka dia akan berusaha sedaya upaya untuk mencapainya walau apapun rintangan dan halangan yang perlu ditempuhi.



Ambillah satu analogi ini sebagai memudahkan kefahaman.


Muhamamad,Firdaus dan Nawi ditakdirkan menyertai satu pertandingan lumba lari.Muhammad menyertai perlumbaan kerana didesak oleh Firdaus dan Nawi.Dia tidak ambil tahu tentang hadiah dan peraturan perlumbaan langsung.Asal turut serta,itu sudah memadai baginya.


Firdaus pula menyertai perlumbaan itu kerana mengetahui bahawa pemenangnya bakal membawa pulang hadiah RM1,000.Maka dia sedari awal lagi menjalani latihan bagi memastikan kemenangan.Cuma dia terlepas pandang untuk ambil tahu tentang peraturan perlumbaan.


Nawi juga seperti Firdaus.Dia juga mengetahui tentang hadiah yang bakal diraih.Tetapi berbeza sedikit dari Firdaus,Nawi sangat-sangat memerlukan duit hadiah itu bagi melangsaikan hutangnya.Maka diambil kira dari segala aspek bagi memastikan kejayaan dan hadiah itu dapat dinikmati.Dari peraturan peserta hinggalah kepada kaedah perlumbaan dijalankan.Strategi juga diatur pada bila masanya hendak memecut dll.


Perlawanan pun berlangsung dan seperti yang dijangka Nawi berjaya mendapat kemenangan.Muhammad awal-awal lagi tewas kerana kekejangan akibat lama tidak bersenam.Firdaus yang disangka dapat memberi saingan kepada Nawi di’disqualified’ oleh pengadil kerana melanggar peraturan.


Muhammad terpinga-pinga apabila mengetahui bahawa ganjaran perlumbaan begitu lumayan.Firdaus pula tidak dapat membendung perasaan kecewanya kerana terlepas pandang perkara yang begitu penting.Kedua-duanya merasa rugi dan menyesal.


Maka akhirnya yang merasai kemanisan kejayaan adalah Nawi yang jelas matlamat dan mengikuti peraturan dan syarat perlumbaan secara keseluruhan.


Mereka yang cuba membina Baitul Muslim tanpa mengetahui matlamat pembinaan,maka awal-awal lagi dia akan tewas seperti Muhammad.Dia mudah sekali tewas dengan asakan nafsu dan syaitan dan tidak mungkin meraih matlamat yang hendak dicapai.


Mereka yang cuba membina Baitul Muslim tanpa mengetahui dan mengikuti syarat pembinaan,maka mudah sekali dia tersasar dan akhirnya kecewa seperti Firdaus.Disangkanya cukup persediaan dan dapat meraih kejayaan tetapi hampa akhirnya kerana di’disqualified’ oleh pengadil kerana melanggar peraturan bagi merasai nikmat hidup dalam Baitul Muslim.Tidak bimbangkah kita menjadi golongan ini?


Maka sudahkah anda jelas tentang dua persoalan ini,“Mengapa memilih proses Baitul Muslim yang direncanakan oleh Jemaah?mengapa perlu mengawal situasi atau permasalahan perhubungan yang timbul kemudian?”


Umum sudahpun mengetahui tentang peri pentingnya pembinaan Baitul Muslim(keluarga muslim).Ianya adalah proses Maratibul Amal selepas Ifradul Muslim(pembinaan individu muslim),menuju kepada terbentuknya masyarakat dan Negara Islam.Baitul Muslim boleh terbina tanpa diuruskan oleh jemaah.Cari sahaja calon sefikrah dan mulakan hubungan.Mudah(mudah di kata,susah untuk dilakukan).Tetapi mengapa kita memilih,disuruh memilih atau perlu memilih proses membina keluarga yang direncanakan oleh jemaah?



Alasan atau sebab yang paling utama adalah bagi memastikan pembinaan Baitul Muslim tidak melanggar peraturan atau syarat untuk meraih matlamat pembinaan Baitul Muslim.Iaitu jauh dari dosa maksiat sepanjang proses kearah matlamat yang hendak dicapai.Ini kerana hakikat Baitul Muslim sangat-sangat dipengaruhi oleh proses semasa pembinaannya.Ambil contoh yang mudah,mengapa berlakunya landslide di Bukit Antarabangsa hingga mengakibatkan rumah-rumah yang cantik tersergam indah akhirnya runtuh ranap tidak lama dahulu?Tidak lain kerana semasa pembinaannya,diambil ringan persoalan komposisi tanah dan kedudukan curam tempat ia hendak dibina.

Ia,puncanya semasa pembinaan.


Baitul Muslim yang dibina dengan mengambil mudah prosesnya terutamanya pada persoalan maksiat dan dosa,nantikanlah saat runtuh ranapnya!



PARA DAI’,PUKULLAH HATI


Tidak dapat dinafikan kadang-kadang kita tersilap langkah dan melakukan kesilapan.Tetapi sebagai pendakwah maka seharusnya kita memahami dan mencuba sedaya upaya untuk menjaga hubungan supaya jauh dari dosa dan maksiat.


Baitul Muslim yang dibina atas dosa dan kemaksiatan pasti akan tertimpa kesannya.Bukan hari ini ia akan terzahir,tetapi selepas pernikahan,terutamanya semasa tarbiyyah aulad di dunia berlangsung(pendidikan anak-anak).Pada masa sekarang ini,benih-benih di dalam sulbi lelaki sebenarnya sudahpun menerima tarbiyyah dari ayahnya.Sekiranya pada masa ini ayahnya gemar melakukan larangan Allah,sekiranya ibunya menjadi pendorong untuk ayahnya melanggar perintah Allah maka bayangkanlah akhlak anak-anak yang bakal dilahirkan.Ketika anak bermasalah nanti,imbaslah kembali keingkaran yang pernah dilakukan sepanjang perjalanan sebelum perkahwinan.Itulah didikan yang pernah kita berikan diluar sedar.


Ia bukan sahaja merosakkan diri kita dan keluarga yang bakal dibina,tetapi akan mencacatkan dakwah yang kita sedang serukan.Kita mengajak manusia al amru bil maruf wan nahyu anil munkar,tetapi dalam pada masa yang sama kita sendiri sedang bergelumang dengan perkara yang menjadi larangan Allah.Jadi dimanakah beza antara pendakwah dan ahli maksiat?


Apakah dakwah kita membawa kepada pahala atau mengundang murka Allah?


“Wahai orang-orang yang beriman, kenapakah kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Amat besar kebencian di sisi Allah bahwa kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan.”(As-Saff:2,3)


Mungkin sebahagian dari kita merasakan,ia memang aku melakukan larangan Allah,tetapi pada masa yang sama aku melakukan pahala(dakwah dll).Maka dosa itu akan terhapus dikifarahkan oleh amal.Tetapi benarkah begitu?Bagaimana sekiranya dakwah dan amalan pahala kita tidak diterima oleh Allah lantaran kita hanya pandai bercakap tanpa amal?Ramai dari kita terlalu yakin bahawa siang malam keringat dan tenaga kita dicurahkan untuk Islam maka syurga pasti menjadi milik kita.Sedangkan kita belum pasti dan sepatutnya menginsafi diri.Ini dinyatakan di dalam Al-Quran,


"Apakah akan kami beritahukan kepadamu tentang orang-orang yang paling merugi perbuatannya?Yaitu orang-orang yang Telah sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia ini, sedangkan mereka menyangka bahwa mereka berbuat sebaik-baiknya.”(Al-Kahfi-103,104)




Bersabarlah wahai dai’.Bersabarlah ketika haramnya,nescaya Allah akan mengurniakannya ketika halalnya.Penantian setahun dua berbaloi untuk kebahagiaan seumur hidup yang membawa kesyurga.Janganlah kita mencuri mencicip kemanisan perhubungan yang akhirnya membawa penyesalan dan kesan yang berpanjangan.Kepada yang sedang kuat bermujahadah,iringilah dengan tadahan doa’ moga diberi kekuatan hingga akhir penantian.Kepada yang sedang merasa dirinya sudah terjebak,segerakanlah bertaubat dengan taubat nasuha.Sesungguhnya Allah Maha Pengampun.


“Dan Sesungguhnya Aku Yang amat memberi ampun kepada orang-orang Yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk Yang diberikan kepadaNya.”(Taahaa:82)



ISLAH KAAFFAH


“Akhi,ana ada masalah la.Jiwa tak tenteram.”


“Tak tenteram kenapanya,anta ikut aje flow Unit Baitul Muslim tue.Jangan memandai-mandai,itu yang jadi masalah tue.”


“Bukan macam tue.Ana tiada apa masalah pun dengan muslimat tue.Dah dua bulan tak SMS sebab memang tiada keperluan untuk ana contact.Tapi masalah dengan orang lain.”


“Masalah dengan siapa pula ni?”


“Masalahnya,ana masih tak dapat berhenti bermain SMS dan YM dengan muslimat lain dan kawan-kawan perempuan sekolah lama ana.Ana tau tiada keperluan dan hanya suka-suka,tapi entah kenapa.”


Permasalahan demi permasalahan.Ibarat seorang yang tidak suka mencuri,tetapi gemar merompak.Kedua-duanya tetap berdosa dan mengundang murkaNya.


“Bahkan manusia itu hendak membuat maksiat terus menerus.”(Al-Qiyamah:5)


Pengislahan diri hendaklah dilakukan secara menyeluruh.Bermujahadahlah dengan sebenarnya.Janganlah pandang pada anggapan kecilnya dosa itu,tetapi renungilah tentang besarnya implikasi yang bakal diterima.Sebagai hamba,kita tiada hak untuk ingkar kepada Tuan empunya dunia.


Kebahagiaan itu wujud pada orang yang memiliki dirinya,manakala kemeranaan itu wujud pada orang yang dimiliki dirinya.


Saya mengajak diri saya dan semua pembaca sekelian,


ittaquLLAH ka haqqa tuqatih,bertaqwalah kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa!

Read More......

08 October 2008

Memburu kesempurnaan yang tidak berkesudahan

Memburu kesempurnaan yang tidak berkesudahan

“Kenapa abah tak boleh faham apa yang aku cuba lakukan?bukannya aku nak buat benda yang salah.”

“Aku ini bukan anak harapan.Semua aku buat bukannya mak abah akan hargaipun.lainlah abang long.Dia tu pandai.Pandai aje ambil hati mak abah.”

“Mak ni asyik membebel aje.Rimas telinga dibuatnya.Semua benda yang aku buat ada je yang nak di’lecture’kan.”

“Kenapalah Allah lahirkan aku dalam keluarga semacam ini?semuanya serba tak kena.Aku tak mampu tanggung lagi.Rasa macam nak lari je.”

Begitulah antara monolog,getusan hati yang tidak mungkin menipu yang pernah saya alami dan sebahagiannya sampai ketelinga saya dari sahabat-sahabat.Saya juga cukup yakin yang ramai dikalangan anda juga pernah terlintas perkara yang sama. Kadang-kadang kerja amar maruf yang hendak dilakukan tetapi tiada sokongan langsung dari mak abah.kadang-kadang cemburu dengan perhatian yang diberikan mak abah kepada adik beradik yang lain.Mungkin juga sebahagian dari kita punya emak yang suka marah-marah dan banyak celotehnya.




Tidak mustahil juga ada dikalangan kita yang merasakan keluarganya yang paling teruk.Sehinggakan merasa dirinya begitu celaka dilahirkan dalam keluarga yang mungkin 19,20 tahun membesar didalamnya.Mungkin kerana keluarganya diambang keretakan(penceraian). Mungkin juga disebabkan tiap hari melihat pertengkaran diantara mak abah ataupun diantara adik-beradik.Melihat perubahan negatif adik atau abangnya cukup membuat dirinya buntu.Akhirnya timbullah getusan hati dan monolog dalaman yang menggambarkan kekecewaan yang teramat parah.

Yang kelihatan jelas padanya hanyalah kelemahan.

Kecewa.

Perbandingan yang tidak jujur

Perasaan kecewa dengan keluarga sendiri bertambah lagi apabila dia mula membanding-banding dengan keluarga sahabat-sahabat yang dirasakan lebih beruntung.Maka tidak mustahil terpacul dari mulutnya perkataan-perkataan yang mungkin tanpa disedari boleh mengundang kemurkaan Allah swt.

“Kenapala aku dilahirkan dalam keluarga yang porak-peranda macam ni?”

“Seronoknya tengok keluarga Fatimah.Penuh dengan kasih sayang.Tak macam aku yang malang ni.”

“Eh Abu,engkau rasa ada orang yang lagi malang daripada aku tak?tiap-tiap hari aku tengok ada je orang bertengkar dalam rumah aku.Rasa macam nak lari je.”

“Liza,anti senang je nak ke tamrin kan?minta je,mak abah anti mesti bagi.Tak macam ana.Mesti kena perah otak mencari seribu satu helah.Kita tukar family nak?.”


Berhati-hatilah wahai sahabat-sahabat.Lafaz-lafaz yang mungkin boleh diertikan dengan tiada perasaan redha dengan ketentuan Allah sekaligus mengingkari kekuasaan Tuhan yang boleh berbuat apa sahaja terhadap hamba ciptaanNya! Nabi pernah berpesan supaya menjaga dua perkara untuk selamat didunia dan diakhirat iaitu kemaluan dan juga lidah.Pepatah melayu juga ada menyebut kerana pulut santan binasa,kerana mulut badan binasa.

Diantara keluarga yang haraki bersama mak abah yang pilh kasih,keluarga yang didalamnya seorang emak yang selalu marah-marah,keluarga yang didalamnya seorang abang yang liar dan mat rempit,keluarga yang didalamnya seorang adik perempuan yang asyik keluar berpacaran dengan kekasihnya,keluarga yang didalamnya berlaku perceraian,keluarga yang bahagia tetapi memiliki mak abah yang mengongkong apabila hendak ke tamrin,keluarga yang tiada amal islami didalamnya dibandingkan dengan seorang manusia yang tiada mak abah,adik,abang dan kakak.Yatim piatu!

Keluarga mana yang anda akan pilih?


Belajar merenung pada yang lebih teruji.



Kita suka menonton cerekarama di TV3 yang memang top dalam mengetengahkan cerita-cerita yang menyentuh emosi.Tetapi di dalam realitinya kita gagal mengadaptasikan bahawa suasana dan peristiwa didalam cerita itu memang boleh berlaku!Namakan sahaja apa jenis masalah keluarga yang ditayangkan.Semuanya kita pernah tonton.Tetapi pernahkah kita membayangkan diri sendiri adalah watak-watak didalam cerita-cerita tersebut?

Diantara keluarga yang didalamnya seorang ibu yang melacurkan diri,keluarga yang ayahnya dipenjarakan kerana membunuh,keluarga yang didalamnya adik melakukan perbuatan terkutuk dengan kakak,keluarga yang didalamnya abang yang mengedar dan penagih dadah,keluarga yang rumahnya bersepah dengan botol arak dan punting-puntung rokok dibandingkan dengan keluarga anda sekarang ini.

Keluarga mana yang anda akan pilih?

Sahabat-sahabat,janganlah menipu diri.Buatlah perbandingan yang jujur.Cuba kita sama-sama renung,apakah jika kita merasakan keluarga kita punya kelemahan maka tiada langsung sekelumit perkara yang baik?


Renunglah pada firmannya:”Sekiranya engkau bersyukur nescaya akanKu tambahkan untukmu,tetapi sekiranya engkau kufur sesungguhnya azabku amat pedih.”

Barangkali keluarga anda tidaklah seteruk yang saya gambarkan.Tetapi semestinya tiap-tiap keluarga punya kelemahan.Kelemahan yang kecil yang kadang-kadang kita terlalu besar-besarkan.Kelemahan yang melemahkan mental dan fizikal kita.Penambah rencah kepada masalah-masalah yang sedia ada.Sedangkan kita tidak punya banyak masa kerana memiliki tugasan yang lebih penting untuk agama dan perjuangan.

Mungkin juga kerana kita terlalu memburu kesempurnaan yang tidak berkesudahan.



Cuba selami sentuhan watak Elya Khadija didalam ‘Tautan hati’. Mungkin Fatimah Syarha dapat membantu anda membuat perbandingan yang jujur.

Read More......