21 November 2008

TARBIYYAH DARI SI CILIK (2)

“Betul ke apa yang kawan-kawan kamu cerita kat ustaz?”Tanya saya bagi mendapatkan kepastian.

“Betul,memang ana pukul dia,”Zaki menjawab.

“Semalam kamu janji dengan ustaz kamu nak berubah.Tapi baru sahaja sehari kamu dah buat kesalahan lagi,”perasaan saya bercampur baur antara marah dan kasihan.

Zaki terus membisukan diri.Tiada tanda sesal pada raut wajahnya.Bersahaja.

Malam sebelumnya,Zaki telah keluar melalui tingkap asrama di tingkat tiga.Tetapi tindakan yang saya ambil padanya hanya menyuruh membasuh kuali dan periuk-periuk.Tiada hand-contact.Saya berbuat demikian dengan harapan serba sedikit boleh menjadi pengajaran padanya.

Tetapi akhirnya,usaha yang kesekian kalinya turut tidak menampakkan hasil yang positif.

KESEIMBANGAN

Entri saya pada kali ini adalah sebagai keseimbangan kepada entri saya yang lalu,TARBIYYAH DARI SI CILIK 1.Kalau entri yang dulu menceritakan perkara-perkara yang menggembirakan dan mencuitkan hati,pada kali ini ia berbeza sama sekali.

Perkongsian pada kali ini adalah sisi kontra kehidupan saya sebagai warden.Tujuan saya menulis kali ini berdasarkan feedback yang diterima dari pembaca.Saya bimbang sekiranya pembaca tersilap tafsir bahawa segala-galanya sempurna disini.

Perlu kita ambil paham dan menerima hakikat bahawa kehidupan didunia ini semuanya ada pasang surut.



Janganlah diharapkan bahawa wujudnya fenomena syurga ketika didunia.Diharapnya kehidupan didunia gembira senentiasa.

Langit tidak selalunya indah.
Malam tak selalu cerah.
Suram malam tak berbintang.Itulah lukisan alam.
Begitu aturan Tuhan.
-LUKISAN ALAM-

Sedangkan Allah taala menciptakan manusia didunia sebagai medan menguji sejauh mana kita berjaya menghayati erti kehidupan sebagai hamba yang memiliki Khaliq.Allah berfirman,

Patutkah manusia menyangka Bahawa mereka akan dibiarkan Dengan hanya berkata: "Kami beriman", sedang mereka tidak diuji (dengan sesuatu cubaan)?Dan Demi sesungguhnya! Kami telah menguji orang-orang Yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian Yang demikian), nyata apa Yang diketahui Allah tentang orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman, dan nyata pula apa Yang diketahuiNya tentang orang-orang Yang berdusta.

KEBUNTUAN YANG MEMBINGUNGKAN

Zaki(bukan nama sebenar) merupakan pelajar darjah dua yang tersenarai sebagai antara pelajar yang famous di sekolah.Bukan kerana kebijaksaannya,tetapi kerana timbunan kes-kes disiplin yang dilakukannya.

Namakan sahaja permasalahan.Bermula dari mencederakan kawan-kawannya hinggalah kepada mencuri dan mengugut.Dalam usianya yang terlalu mentah,apakah mungkin perkara ini benar-benar berlaku?saya sendiri sukar mempercayainya jika saya hanya mendengar dan tidak mengalami.

See to believe!

Seiring dengan kes-kes yang dilakukan,sebanyak itu jugalah usaha dan tindakan dilakukan bagi menghasilkan secebis perubahan pada insan yang masih kecil itu.

Ramai yang berusaha menasihati dengan pelbagai cara dan kaedah.Ada juga guru yang tidak jelas matlamatnya mengambil tindakan yang langsung tidak berhikmah,seolah-olah melepaskan geram.

Bagi saya,saya masih berpegang kepada kata-kata tegur untuk bagi berubah,kalau setakat nak marah,baik tak payah.

Usaha untuk mencari punca permasalahan sentiasa menjadi keutamaan.Persoalan utama yang perlu dijawab sebelum tindakan susulan diambil.InsyaAllah tindakan saya sentiasa terarah dan terbimbing.

Bermula dari mengingatkan harapan ibunya,hinggalah kepada merotan,berzikir dan membasuh pinggan mangkuk.Hasilnya jauh panggang dari api.Saya menjadi buntu.



Firman Allah Taala,

Sesungguhnya Engkau (Wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang Engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah Yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa Yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya); dan Dia lah jua Yang lebih mengetahui akan orang-orang Yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah petunjuk (kepada memeluk Islam).

Sebagai warden khususnya atau sebagai dai’ umumnya,apa yang perlu dilakukan adalah mencari puncanya dahulu sebelum memutuskan tindakan yang wajar diambil.

Seek First To Understand.


KEPUTUSAN YANG SUKAR

“Ustazah,ustazah tolonglah anak saya.Buat la apa sekalipun.Dia nakal sangat dekat rumah,”keluh emak Amirul.

Amirul(bukan nama sebenar) merupakan salah seorang pelajar yang terkesan dengan sikap Zaki.Amirul berkawan agak rapat dengan Zaki.Sesungguhnya manusia itu akan terdorong mengikut sikap rakannya.

Rasuulllah s.a.w bersabda:
المؤمن مراّة اخيه
Ertinya:Orang mu’min itu cermin bagi saudaranya.

Implikasi negatif yang bercambah merebak ibarat api yang membakar ranting-ranting kayu.Tindakan perlu diambil dalam kadar segera.

Walaupun sebelum ini berkali-kali guru-guru mencadangkan kepada mudir supaya Zaki dibuang sekolah,mudir cuba mempertahankan dan yakin masih ada harapan.Simpati barangkali.Tetapi akhirnya keputusan itu diambil jua.

Zaki seorang budak darjah dua.Keluarganya bukan dari golongan yang faham atau menghayati ajaran Islam.Ibu dan kakaknya berpakaian ala-ala barat.Pernah Zaki menceritakan bahawa kakaknya pernah menonton cerita porno bersama teman lelakinya dirumah!

Dalam pada masa yang sama,sikap negatif Zaki yang tercetus dari krisis keluarga,telah mempengaruhi sebahagian rakan-rakannya yang lain.Sesuatu yang cukup-cukup membimbangkan pihak ibubapa.Ada yang melarang anak mereka berkawan dengan Zaki.Ibubapa mana yang tidak risau.Saya pun akan mengambil tindakan yang sama seandainya saya berada ditempat mereka.

Apakah tindakan buang sekolah keatas Zaki sebagai keputusan yang tepat?

Atau guru-guru telah gagal menjadi pembimbing yang berjaya kerana tindakan yang diambil seolah-olah petanda putus asa?

Yang manakah lebih utama,terus berusaha menyelamatkan Zaki sambil melihat kesan negative merebak dikalangan pelajar-pelajar yang lain?




Atau mengambil tindakan yang sukar dengan membuang Zaki keluar sekolah sebagai usaha menyelamatkan pelajar-pelajar dari menerima implikasi virus yang cukup merbahaya ini?

MENGUTAMAKAN YANG UTAMA

Seringkali didalam kehidupan kita sebagai hamba didunia ini,tidak mungkin terlepas dari ujian dan dugaan.Adakalanya keputusan yang hendak diambil membawa kita kejalan buntu.

Ditelan mati emak,diluah mati bapak.Hendak tak hendak,salah satu mesti menjadi korban.

Kita ambil satu contoh,kadang-kadang dalam satu-satu organisasi dakwah atau yang selainnya terdapat ahli yang membawa masalah.Tidak kira samada pimpinan yang gila kuasa yang merasa sempurna tidak pernah berbuat silap,pendoktrin-pendoktrin hingga kepada ahli bawahan yang tidak mahu memberi kerjasama bagi melancarkan gerak kerja.

Apakah golongon ini perlu dibela,atau disingkirkan bagi menyelamatkan organisasi?

Mustafa Mahsyur didalam kitabnya,Jalan dakwah:antara keaslian dan penyelewengan ada menyentuh bab ini.Beliau berpendapat penyingkiran adalah tindakan yang paling wajar diambil kerana kepentingan organisasi adalah lebih utama.

Difikirkan mengikut kacamata kita yang kabur,keputusan ini seolah-olah kejam dan tidak wajar dilakukan.Itu hanya fikiran mereka yang menilai dengan emosi dan bukan berdasarkan kepentingan yang realiti.Ulama fiqh berpendapat,apabila berhadapan dengan dua kemudharatan maka pilihlah kemudharatan yang lebih kecil.

Yang dikorbankan adalah satu,bagi menyelamatkan seratus satu.Nampak berbaloi bukan?
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui perihal hambaNya.Terkadang telinga manusia mendengar,akal memproses tetapi hati tidak dapat menerima.Semuanya kerana kelemahan dan keterbatasan fikiran kita sebagai manusia.

Menjadi keutamaan bagi kita untuk mengutamakan yang utama.

1 comments:

Anonymous said...

citer yg sgt best... tahniah... smoga istiqamah...