10 November 2008

AKU YANG DULU...


“Ya Allah,Wahai Tuhan Yang Maha Pengampun.Kau ampunilah dosa-dosaku…,”suara Hanif sayup-sayup kedengaran dikedinginan malam Ramadhan yang dilimpahi barakah.

Ditengah malam yang sepi itu juga saya sudahpun bangkit dari lena.Dalam kegelapan hari saya memerhatikan sekujur tubuh sedang bermunajat memohon keampunan dariNya.

Suaranya teresak-esak merintih dan merayu.Mata bergenang deras airmata;basah pipinya mengenangkan dosa-dosanya yang lalu.Penuh pengharapan,kedua tangan ditadahkan;penuh yakin,penuh keinsafan.


“…HambaMu ini datang menghadapMu,sudilah kiranya Engkau kurniakanku ampunan.Akulah hambaMu yang berdosa.Tanganku penuh dengan noda.Ampunilah hambuMu ini yang banyak berbuat maksiat;yang selalu ingkar dengan perintahMu.”Tangisannya jelas kedengaran,linangan airmata makin laju merembes dipipi membasahi baju melayunya.


Sayu.Hampir mengalir airmata,tapi ditahan.Saya cuba terus mendengar butir-butir perkataan yang Hanif lafazkan,tetapi semuanya tenggelam dalam tangisannya yang dalam.

“Dan Sesungguhnya Aku Yang amat memberi ampun kepada orang-orang Yang bertaubat serta beriman dan beramal soleh, kemudian ia tetap teguh menurut petunjuk Yang diberikan kepadaNya.”
(20:82)

Hanif masih belajar disebuah sekolah menengah di Shah Alam.Sebelum ‘peristiwa’ itu,seperti remaja-remaja yang lain,dia gemar membaca komik dan aktif bersukan.Kenakalan tidak dapat lari pada usianya yang ditahap awal hendak mengenali erti kehidupan.Amalan agama juga berada ditahap seperti orang-orang kebiasaan.Solat fardhu agak liat dikerjakan diawal waktu terutamanya subuh.Bacaan al-quran pun susah hendak didengari darinya apatah lagi hendak bangkit berqiamullail diawal pagi.


SEBUAH PERSAHABATAN

Itu dulu.

Tetapi segalanya berubah selepas satu peristiwa yang begitu terkesan dijiwanya.

“Hanif!Angkat telifon.Sidek tu,”laung emak kepada Hanif.Hanif bergegas menggangkat ganggang telifon. Sidek merupakan sahabat yang begitu akrab dengannya.Suka dan duka dikongsi bersama.

“Hello.Ha Sidek apa cerita?”Hanif bertanya penuh kegirangan.

“Weh,ada masalah besar ni.Makayah aku suruh pindah sekolah la,”terang Sidek dalam nada serba salah.

Kelu Hanif mendengar kenyataan itu.Berita itu baginya begitu mengejutkan dirinya.Disoalnya kembali bagi mendapatkan penjelasan.

“Kenapa pulak nak pindah?Tiba-tiba aje ni.”

“Kau kan tau prestasi akademik aku macam mana.Makayah aku nak pindahkan aku kat sekolah lain.”

“Ala itu bukan masalah besar.Kalau kau taktau,aku boleh ajar kau.Kalau akupun taktau,aku suruhlah ayah aku ajar nanti,”Hanif cuba memujuk.

Tetapi jauh disudut hatinya,dia tahu bahawa keputusan berpindah itu muktamad.Sidek tiada kuasa mengubah kehendak ibubapanya.Airmata hangat mula mengalir kepipi.Perasaan sedih mahu berpisah dengan sahabat yang disayangi tidak tertanggung lagi.

Ikatan kasih sayang dua remaja disaksikan si ibu dari jauh tanpa disedari keduanya. Tersentuh hati Ibu.Sayu dan pilu.


KEJUTAN DEMI KEJUTAN

“Hanif,Sidek dah nazak!”tersentak jiwa kerdil Hanif pada ketika itu.Airmata kepiluan mengalir lagi.

Masa seakan terhenti seketika.Berita yang menggemparkan itu betul-betul memberi tamparan hebat bagi dirinya.Semuanya berlaku begitu pantas.Insan manakah yang mampu hadapi ujian sehebat ini?Sidek tidak sempat berpindah ke sekolah lain kerana diserang barah paru-paru yang kronik.Beberapa minggu yang lalu Hanif melawat sahabatnya di hospital,Sidek masih sedar dan sempat berbisik sesuatu dengannya.Tetapi menerima berita kali ini,Hanif tahu saat perpisahan dengan sahabat karibnya sudah hampir.

Hanif bersama dengan ibubapanya bergegas ke University Hospital,Petaling Jaya.Sepanjang perjalanan,tiada bicara dapat dilafazkan.Hanya esak tangisan yang kedengaran.Fikirannya bercelaru.

Akhirnya Sidek kembali ke rahmatullah disamping sahabatnya yang dikasihi.Raungan Hanif kedengaran dari bilik wad dimana Sidek ditempatkan.Perpisahan kali ini adalah perpisahan mutlak mereka didunia.Hanif mengerti hakikat ini.Tempias kesedihan terpampar diwajah setiap yang melihat.Semua yang ada disekeliling itu menjadi saksi keikhlasan persahabatan mereka.


Persahabatan yang teguh dan utuh tersemat walau kini masing-masing dialam yang berbeza.Persahabatan yang tiada musimnya.Persahabatan dalam suka dalam duka.Persahabatan tiada malap cahaya,yang terus bersinar terang selamanya.

“Aku mencintai sahabatku dengan segenap jiwaku.Sahabat yang baik adalah seiring denganku dan menjaga nama baikku ketika aku hidup atau mati.Kuhulurkan tangan kepada sahabat untuk berkenalan kerana aku akan merasa senang.Semakin ramai sahabat semakin aku percaya diri.Aku selalu berharap mendapat sahabat sejati yang tidak luntur baiknya dalam suka dan duka.Jika dapat,aku ingin setia padanya.”

(Imam Syafie)

TURNING POINT

Hari-hari yang berlalu itu tidak dapat lekang begitu mudah dari fikiran Hanif.Segalanya masih jelas,seolah-olah baru semalam Sidek pergi.Hanif sugul beberapa ketika.Ibu sidek meminta izin kepada ibubapa Hanif untuk menjadikan dia sebagai anak angkat.Barangkali sebagai tempat melepaskan rindu tiap kali terkenangkan anaknya.

“Hanif,nanti cuti sekolah ikut ustaz nak?kita keluar buat usaha dakwah.”

“InsyaALLAH.”

Hanif kini menyertai kumpulan jemaah sebagai medan berdakwah dan untuk memperbaiki diri.Di situ dia mula belajar serba sedikit tentang erti kehidupan dan perasaan hidup bertuhan.

Duit keuntungan yang didapati hasil daripada mendapatkan tempahan baju di sekolahnya masih tersimpan banyak.Hanya sedikit sahaja yang digunakan.Dia tekad untuk menggunakannya kearah dakwah,sebagai bukti kecintaannya kepada Pencipta melebihi dari harta dan dunia.

Solat diawal waktu dilazimi.Quran juga dialunkan tanpa jemu.Mendengar rintihannya disepertiga malam juga boleh dikatakan kerap dan menjadi kebiasaan.
Hanif.Dia adikku.



Begitulah antara kisah perubahan yang dilakukan manusia dari kehidupannya yang lalu,kepada sebuah kehidupan yang baru.Dari tiada halatuju kepada bermatlamat.Dari penuh kelekaan kepada khusyuk patuh kepada Allah.Dari merasa senang dengan dunia kepada menagih halawatul iman.Dari hidup yang kosong kepada yang penuh makna dan pengertian.Semuanya bila kenikmatan Iman dan Islam dihayati dan dirasai sedikit demi sedikit.

“Sesungguhnya orang-orang Yang sebenar-benarnya beriman hanyalah orang-orang Yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian mereka (terus percaya dengan) tidak ragu-ragu lagi, serta mereka berjuang Dengan harta benda dan jiwa mereka pada jalan Allah; mereka itulah orang-orang Yang benar (pengakuan imannya).”

(49:15)

Kita biasa mendengar bagaimana seorang ahli maksiat itu berubah.Kita juga biasa mendengar bilamana seorang yang pulang dari mengerjakan haji itu berubah.Kita biasa mendengar kisah-kisah mereka yang dahulunya kufur akhirnya dikurniakan hidayah untuk memeluk agama Islam.
Tetapi kebanyakannya yang kita dengar adalah bersebab,samada dari kematian,keajaiban,keindahan Islam dan bermacam-macam lagi.Pelbagai cara Allah taala mengurniakan hidayah kepada hamba-hambaNya.

Akhirnya bertambah satu fakta yang tidak benar dalam mindset kita,hidayah itu akan hadir dengan sendirinya tanpa perlu berusaha!



KECELARUAN DIRI PADA YANG TIDAK PASTI

“Shahrul,kenapa aku nak berubah tapi tak dapat?Aku dah cuba dah untuk tidak bercouple lagi.Tapi boring la bila tak main mesej jiwang-jiwang ni.Aku memang tak boleh tinggal la.”

“Saya belum lagi mendapat hidayah Allah untuk bertudung,”berkata seorang penyanyi.

“Bagaimana ana nak berhenti dari melanggar perintah Allah?Ana betul-betul tiada kekuatan.Dunia dan kenikmatannya terlalu mengasyikkan.Ana betul-betul nak berubah,tapi asyik kalah kepada hawa nafsu dalam diri,”monolog seorang pendakwah.

Segala-galanya yang berlaku dibiarkan sahaja.Seolah-olah semuanya mengharapkan turning point itu untuk hadir.Mungkin mahu diperlihatkan di langit dunia seksaan yang bakal diterima diakhirat kelak secara’live’,baru mahu cuba memperbaiki diri.Keingkaran kepada Pencipta terus berlaku atas alasan tiada kekuatan untuk mengatasi dan berubah kepada yang lebih baik.

Perasaan ingin berubah dibiarkan tanpa tindakan.Sungguh merugikan.

Diriwayatkan dari Imam Tirmizi dan Ibnu Majah,bahawa Nabi bersabda,

“Yang pintar adalah mereka yang mengawal nafsunya dan beramal sebagai persiapan untuk mati.Yang bodoh adalah mereka yang mengikuti hawa nafsunya kemudian berangan-angan baik terhadap Allah.”
Strategi perlu dilakukan kerana musuh yang kita hadapi adalah yang paling bijak memperdaya. Jihad yang paling besar adalah jihad melawan hawa nafsu.Itu hakikat yang perlu kita betul-betul fahami dan yakini.Apakah ada kemungkinan musuh yang hebat dapat ditumpaskan tanpa persediaan yang rapi?

Seandainya ilmu tidak mencukupi,maka usahakanlah untuk mencari.Jika kawan dan keluarga tidak membantu,maka carilah sahabat yang suka menasihati sebagai kubu.Sekiranya suasana tidak membina,kerahlah diri untuk melangkah jauh ke tempat yang lebih sejahtera.

Seandainya ini adalah hari terakhir kita di dunia,apakah masih tidak dapat difikirkan apakah tindakan yang perlu dilakukan demi sebuah perubahan?

Pengorbanan adalah harga yang perlu dibayar sesuai dengan nilai sebuah hidayah.Terserah anda mahu membeli atau hanya melihatnya dari jauh.
Fikir dan rancanglah sebelum terlambat.

0 comments: