16 October 2008

TARBIYYAH DARI SI CILIK (1)

TARBIYYAH DARI SI CILIK (1)

“Ustaz,kenapa mata ustaz berair aje?ustaz baru bangun tidur eh?”,bertanya Azimah.Saya mendiamkan diri sambil mencedok makanan ke pinggannya.

“Ustaz menangis ke?,”Aishah pula bertanya.Soalan itu dibiarkan tidak berjawab.Muram.Melihat tingkahlaku saya,Aishah terus bersembunyi disebalik rakannya.Barangkali takut dengan wajah saya yang mencuka.

“Aishah!”saya memanggil Aishah kembali ketika dia mula berjalan pergi dari meja hidangan makanan.Kemudian saya melemparkan senyuman.Dibalasnya dengan manja.Tidak mampu untuk bermasam muka dihadapan kanak-kanak yang tidak mengerti apa yang sedang saya hadapi.Innocent.



Sudah hampir empat bulan saya menjadi warden di Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum.Sekolah rendah swasta yang baru ditubuhkan empat tahun ini menjadikan pembinaan syakhsiah pelajar sebagai perkara utama.Sebelum menjejak kaki ke sekolah ini,ada diantara sahabat yang mengatakan bahawa kehidupan disini stressful.Mana tidaknya,tinggal di bangunan lot kedai.Siang malam pemandangannya adalah batu.Hidup dalam komuniti yang kecil dan jika tidak pandai keluar dari kawasan bangunan sekolah,barangkali saya boleh jadi tidak siuman!

Dua minggu yang pertama saya kerap berulang-alik kerumah sewa sahabat yang berdekatan.Bukan kerana tekanan,tapi tidak biasa berpisah lama dengan sahabat.Dua tahun bersama dikampus sudah cukup untuk mengikat hati-hati kami ini.Rindu.Hikmah ‘Doa Rabitah’ barangkali.

Hendak menyesuaikan diri dengan kerja-kerja sebagai warden agak mengambil masa.Maklumlah tidak biasa membuat kerja rumah.Disini warden tidak hanya menjaga para pelajar tetapi termasuk memasak nasi,membancuh air,membasuh periuk,menyapu lantai,menjadi guru ganti dan kerja-kerja lain yang mungkin tidak sinonim disekolah asrama yang lain.Tetapi semua itu tidak memberi tekanan yang berat kepada saya.

‘FIRST IMPRESSION’ YANG MELESET

“Ain,nah ambil mee ni buat kuah,”berkata Ustaz Danial memanggil Ain yang sedang menambah nasi.Kuah kari laris pada hari itu,maka mee basah diberi bagi mengelakkan pelajar menjamah nasi kering tidak berkuah.

“Buat kuah…betul ni ustaz?”tergeli-geli Ain sambil mensuakan pinggannya.

“Betul la.”

“Ustaz tak tipu?”

“Iyela.Nah ambil.”

“Ok,terima kasih ustaz.”Ain berlalu pergi,meninggalkan kami tergelak kecil di meja makan guru.
Ikmal yang suka panjat belakang.Syamila yang pandai berbahasa.Farhan dan khadijah yang bercakap tanpa brek.Ain yang periang dan lurus.Muaz dan Arif yang sensitif bila disakat.Fatin yang suka makan banyak.Aina yang petah bercakap.Mawardi yang baru darjah satu tapi suka mengenakan kawan-kawannya.Athirah yang begitu kecil budaknya,cute.

Saya merasakan diri terhibur selalu.Tidak tertekan akibat suasana seperti yang disangka pada mulanya.Malah tekanan-tekanan berat yang datang silih-berganti dari luar banyak saya atasi dengan kebersamaan dengan anak-anak kecil yang bersih dari dosa ini.Suatu hikmah yang tersembunyi.Allah berfirman,

“Dan boleh jadi apa yang kamu benci itu baik bagi dirimu,dan boleh jadi apa yang kamu sukai itu buruk bagi dirimu.Dan Allah mengetahui sedangkan kamu tidak mengetahui.”


TARBIYYAH DALAM DIAM


Kadang-kadang kita berasa terlalu tertekan.Gerak kerja dakwah yang bertimbun.Jadual program-program yang padat.Senior-senior dan naqib yang asyik ‘menyumbat’ ilmu dan kefahaman secara ‘paksaan’.Masalah dalaman dan luaran yang bertali –arus.Kewangan yang menghimpit.Ditambah lagi dengan pandangan kita yang monotaip,menjadikan tekanan ditahap yang sangat-sangat kritikal.

Tarbiyyah dilihat menjadi mekanisma memproses manusia yang outputnya adalah zombi!

Kadang-kadang pula kita berasa terlalu lapang.Merasakan diri tidak ditarbiyyah langsung.Gerak kerja dakwah berjalan lancar tanpa sebarang masalah.Tiada perselisihan diantara sahabat-sahabat.Tiada juga teguran dari sesiapa.Program-program dan tamrin semuanya

smooth.Akhirnya perasaan bosan menyelubungi diri.Dakwah kehilangan nikmatnya ibarat makanan yang tawar tanpa gula dan garam. Ditambah lagi dengan pandangan kita yang monotaip,menjadikan kelapangan itu sebagai bala yang boleh menyebabkan keciciran dari medan dakwah.

Tetapi benarkah tiada pentarbiyyahan yang berlangsung?

Saya cukup yakin bahawa semua pembaca blog ini tahu akan kisah agung Nabi Yusof yang diceritakan didalam Al-Quran.Peristiwa yang mengandungi begitu banyak pengajaran untuk umat manusia wajar sekali untuk kita teladani.Ketika Nabi Yusof dijatuhkan hukuman penjara tanpa bicara oleh Al-Aziz yang kejam,apakah Nabi Yusof melihat penjara sebagai satu hukuman?atau adakah ia kerehatan dari kekotoran manusia ketika itu dan juga peluang untuk beribadat dan mengadu kepada Allah?

“Yusof berkata,”Wahai Tuhanku!Penjara lebih aku sukai daripada memenuhi ajakan mereka.Jika aku tidak Engkau hindarkan dari tipu daya mereka,nescaya aku akan cenderung untuk(memenuhi keinginan mereka) dan tentu aku termasuk orang yang bodoh.” (12:33)

Ujian yang Allah timpakan kepada hambanya bukan sahaja yang berbentuk ‘negatif’ seperti kesakitan,kemiskinan,kesempitan dan kematian.Tarbiyyah juga tetap wujud pada kesihatan,kekayaan,kelapangan dan ketenangan.Bergantung kepada cara kita melihatnya kerana pentarbiyyahan dari Allah bersifat sepanjang masa dan tidak terhenti pada selang masa tertentu samada positif atau negatif.


HITAM YANG TIDAK HITAM,PUTIH YANG BUKAN PUTIH

Manusia sering melihat sesuatu perkara secara sehala.Jarang sekali kita cuba melihat sesuatu peristiwa dari sudut yang berbeza.Bukan kerana inginkan kelainan,tetapi bagi mendapatkan kepastian dan keseimbangan dari sesuatu hal yang tertentu.Kalau yang dilihat pada mulanya nampak negatif,maka sampai kesudahnya juga negatif.Tiada usaha melihat pada positif yang tersembunyi.Maka implikasi apabila berhadapan dengan masalah dan ujian adalah stress dan kemurungan.Dan boleh jadi implikasinya adalah kelekaan dan kelalaian apabila dirasakan terlalu lapang dan senang.


Pendakwah yang dinamik sentiasa berfikir dari pelbagai sudut.Tidak mudah menilai sesuatu perkara hanya dengan sekilas pandang.Kalau hendak menyediakan kari ayam,maka bahan-bahannya adalah serbuk kari,ayam,garam,gula,santan dan lain-lain.Begitu juga sesuatu peristiwa,permasalahan atau ujian,bahan-bahan untuk menghasilkannya juga adalah pelbagai dan tidak hanya pada satu sebab.Imam Malik pernah berkata,

“Apabila kamu ditanya tentang sesuatu perkara,hendaklah kamu menghalusi pendapat orang lain kerana ketelitian itu menghapus pemikiran yang sempit.”

Maka wajarkah kita menilai sebelum mengenalpasti dan meneliti kesemua ‘bahan-bahan’?

Ambillah masa untuk fikir sejenak.Perhatilah dari kacamata dai’yang dinamik.

0 comments: